Tuesday, August 16, 2011

GCM isytihar ‘perang’ jika isu murtad tidak selesai




SHAH ALAM: Gerakan Cegah Murtad (GCM) memberi amaran akan melancarkan ‘perang’ jika isu memurtadkan umat Islam tidak ditangani dengan segera.
Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata tindakan ini demi mempertahankan akidah sekiranya mereka tidak berhenti menyesatkan umat Islam.
“Kepada masyarakat bukan Islam, kami tiada masalah dengan anda. Tetapi kita ada masalah besar dengan orang-orang bukan Islam yang biadap dengan agama Islam dan yang cuba menarik umat Islam keluar daripada agama,” katanya di hadapan kira-kira 500 orang awam yang baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Beliau turut menyelar pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang enggan mempertahankan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
“Kita tiada masalah dengan mana-mana Menteri Besar daripada mana-mana parti tetapi kita ada masalah dengan mereka sekiranya sanggup menggadaikan Islam dan Allah semata-mata untuk mempertahankan kedudukan…..begitu juga dengan Ahli Parlimen Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin berkata isu yang berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bukanlah sesuatu yang baru, tetapi hanya sebahagian kecil sahaja jika dibandingkan dengan usaha memurtadkan umat Islam diseluruh negara.
Malah beliau menolak isu ini dijadikan alat politik untuk kepentingan tertentu.

Ini bukan isu politik
“Isu ini bukan isu politik, tiada kena mengena dengan Anwar (Ibrahim) atau PAS tetapi ia isu umat Islam. Ini isyarat jelas kita perlu bersatu dalam isu ini dan umat Islam tidak rela akidah dipermainkan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada portal web Malaysia Kini dan The Malaysian Insider agar menghentikan segera provokasi terhadap isu ini jika tidak mahu tindakan keras diambil terhadap mereka.
“Jangan jadi barua…kalau nak cari makan carilah makan ditempat lain,” katanya yang bercadang mahu menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan isu ini dalam masa terdekat.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Lokman Nor Adam berkata semua pihak perlu menghormati tindakan Jais yang cuba membanteras penyelewengan agama di kalangan umat Islam.
GCM terdiri daripada kira-kira 45 badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh Selangor yang berjuang melawan isu murtad.


No comments:

Post a Comment