Sunday, August 14, 2011

Gerakan Dakyah Di Malaysia

Gerakan Kristianisasi di Malaysia

Tera Tak Adamar & Mohd Elfie Nieshaem Juferi

Kalimah kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah nikmat yang dikurniakan-Nya serta dengan taufik dan hidayah-Nya, kita masih mengecapi kemanisan iman sehingga ke hari ini. Nikmat Iman dan Islam inilah yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa bersama kemegahan yang dijanjikan oleh Allah subhanahu wa’ taala.

Sejarah telah mencatatkan bahawa kemegahan dan keagungan Islam mula dicarikkan sedikit demi sedikit bersama runtuhnya Daulah Islamiah Uthmaniyyah pada tahun 1942. Daulah yang diamanahkan untuk menjaga hak asasi manusia telah hancur lebur. Malah hari ini kita menyaksikan akidah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam juga mula diruntuhkan setelah 74 tahun runtuhnya ad-Daulah al-Islamiah.

Mutakhir ini gejala murtad mula menyerang orang-orang Islam di Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang terlibat ialah anak-anak yang kurang berpendidikan agama, walaupun tidak dinafikan sesetengah daripada mereka telah dibekalkan secangkiran ilmu agama, tetapi ia terlalu nipis untuk menjadi benteng serangan murtad. Setakat pemerhatian penulis, antara agama yang menjadi pilihan untuk dianuti oleh orang Melayu (murtad kepada agama lain) ialah Kristian, Hindu dan Buddha, di mana agama Kristian yang merupakan agama paling aktif berbanding dengan agama lain kerana ia melibatkan gerakan tersusun oleh misionaris antarabangsa, manakala mereka yang murtad kepada agama Hindu dan Buddha hanya melalui proses perkahwinan dan percintaan secara rambang. Gerakan Kristianisasi di Malaysia inilah yang merupakan fokus perbincangan artikel ini, Insya’ Allah.

Sejarah telah menujukkan proses Kristianisasi ini telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511 Masehi lagi. Sekiranya kita melihat Kota Melaka kita akan dapati di sana terdapat banyak gereja-gereja yang dicat warna merah. Itulah tempat batu asas agama Kristian di Malaysia. Di dalam Kota Melaka terdapat satu kubur mendiang ketua paderi Melaka berdiri megah dalam A Famosa. Walau bagaimanapun proses Kristianisasi di Tanah Melayu kurang berjaya sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 Masehi.


Kemerdekaan Malaya diharapkan dapat menghapuskan saki-baki gerakan tersebut. Tetapi peristiwa Natrah menggugat sentimen orang Melayu Islam. Sekali lagi maruah umat Islam tercabar. Peristiwa yang menjadi catatan sejarah penting umat Islam itu amat melukakan hati umat Islam. Tetapi yang menyedihkan apabila kerajaan Malaya ketika itu tidak menjadikannya iktibar untuk memelihara kesucian akidah umat Islam Malaya. Hari ini kesan tersebut telah mula dirasai, generasi era kemerdekaan tidak dibekalkan pendinding iman yang kukuh, akidah Islam di tahap yang menyedihkan, budaya barat menjadi ikutan sesetengah golongan muda. Penulis juga mengenali beberapa orang Melayu yang mengaku dirinya Islam tetapi pulang awal pagi dalam keadaan mabuk. Kesannya, akidah umat Islam mula goyah.

Laporan Bernama yang dipetik dari majalah The Minaret terbitan Pusat Islam California mengatakan pendakwah Kristian menjadikan Malaysia di antara negara sasaran bagi satu gerakan dakyah yang dipanggil “Window 10/40″, kerana Malaysia salah satu negara yang terletak di antara garis lintang 10 dan 40 di peta dunia (sumber: Berita Harian, 4 Februari 1997). Malah di dalam sebuah laporan Utusan Malaysia bertarikh 3 Februari 1997, Jabatan Agama Islam Johor bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri telah merampas 250 judul buku mengenai ajaran Kristian dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menggunakan judul seperti Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenal Rasul. Sekali pandang kepada tajuk-tajuknya seolah-olahnya buku-buku agama Islam, inilah salah satu taktik mereka untuk cuba menarik minat orang-orang Islam untuk membaca buku-buku ini (sila rujuk gambar 1 & 2).




Gambar 1: Inilah buku-buku dakyah Kristian yang sedang beredar sekarang. Buku-buku ini ialah ‘Kepercayaan dan Amalan Orang Kristen’ oleh William Miller, ‘Kisah Al Masih’,iaitu ”riwayat hidup Isa” (a.s.) berdasarkan kitab Lukas dalam Kitab Perjanjian Baru (New Testament), ‘Circumcised Heart’ oleh Hilmy Nor dan ‘Freedom of Religion In Malaysia’ oleh Lee Min Choon. Dua buku terakhir telah diterbitkan oleh Kairos Research Centre.




Gambar 2: Dua keratan Alkitab (Bibel), dari buku Keluaran (Exodus) fasal 3 dan dari buku ‘Yehezkiel’ (Ezekiel) fasal 2. Alkitab (Bible) ini menggunakan istilah-istilah Arab seperti “Allah” sebagai nama Tuhan, “imam” untuk paderi dan beberapa istilah lain seperti “nabi”, “malaikat” dan lain-lain lagi. Istilah-istilah ini sebenarnya boleh mengelirukan orang-orang Islam. Alkitab ini diterbitkan oleh ‘The Bible Society of Malaysia’ beralamat di No. 2, Jalan SS 20/10, Damansara Kim, 47400 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan

Peristiwa Jamaluddin @ Jeshua Othman (1987) merupakan titik tolak kepada dakwah terang-terangan Kristian setelah sekian lama berselindung di sebalik dinding gereja. Dalam kes tersebut Jeshua telah mendakwa Menteri Dalam Negeri kerana telah menyumbatnya dalam ISA atas alasan menyebarkan dakyah Kristian. Sehingga tarikh dia diberkas, ramai anak Melayu yang telah berjaya dikristiankannya. Dalam dakwaan tersebut beliau menggunakan alasan undang-undang kebebasan beragama untuk melepaskan diri dari lokap ISA. Pemimpin Kristian Melayu tersebut akhirnya dibebaskan (sila rujuk gambar 3) .Pendakwah Kristian dibebebaskan atas nama kebebasan beragama setelah ramai anak Melayu yang gugur Islamnya? Itukah keadilan Malaysia, tanah air kita yang tercinta setelah kemerdekaan, itukah nilai kemerdekaan orang Melayu Islam?




Gambar 3: Nama Jamaluddin Othman sebagai seorang murtad di dalam buku ‘Freedom of Religion In Malaysia’, halaman 42.

Belum habis dengan masalah Jeshua Othman, umat Islam di Malaysia dikejutkan pula dengan kes murtad Nor Aishah Bokhari, yang berkahwin lari dengan seorang pemuda bukan Islam (sila rujuk gambar 4). Berapa ramaikah wanita Islam yang murtad sebelum kes Nor Aishah Bokhari terpampang di muka depan suratkhabar tempatan?




Gambar 4 : Nama Nor Aishah Bokhari sebagai seorang murtad di dalam buku ‘Freedom of Religion In Malaysia’, halaman 51.

Hari ini orang Melayu tidak lagi boleh berdiri megah menyatakan Melayu Islam. Sekarang bangsa Melayu tidak lagi agung di sisi Allah melainkan mereka yang beriktikad di jiwanya dengan dua kalimah syahadat. Kalau dulu seratus peratus Melayu adalah Islam, tetapi sekarang malulah rasanya kalau hendak bercakap begitu lagi.

Di sini penulis ingin mengajak pembaca merenung sepotong hadis Nabi s.a.w. Sabdanya:

“Akan terungkai ikatan Islam satu persatu, dimulai dengan gugurnya hukum perundangan Islam dan diakhiri dengan keguguran sembahyang.”

Setelah 74 tahun hukum perundangan Islam diporak-perandakan oleh tangan-tangan kafir, sekarang kita dapat melihat bilangan yang tidak sedikit umat Islam yang meninggalkan sembahyang, dan inilah antara faktor yang melebarkan lagi gejala murtad di Malaysia. Ulama Islam ada mengatakan bahawa perbezaan antara seorang Muslim dan seorangkafir dari segi amalanya ialah sembahyang. Jadi apakah bezanya di antara Muslim yang engkar sembahyang dengan yang kafir? Inilah perkara pertama yang umat Islam perlu fikirkan sebelum kita membicarakan cara-cara menyekat gejala murtad.

Sekiranya kita mengkaji Fiqh Perundangan Islam, kita akan dapati terdapat cara-cara khusus yang telah digariskan oleh Islam untuk menyekat gejala syirik dan murtad ini daripada melanda umat Islam. Tetapi sayangnya sistem perundangan Islam diketepikan sewenang-wenangnya oleh pemerintah sekarang.Sinar nur ataupun cahaya perundangan Islam dipadamkan terus daripada terus bersinar di mahkamah syariah. Orang-orang kafir menggunakan kesempatan daripada kelemahan perundangan mahkamah sivil untuk mempersenda dan memporak-perandakan umat Islam dan agama yang dianuti oleh mereka (sila rujuk gambar 5) . Firman Allah:

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan nur-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.” (Surah Ash Saf: 8)




Gambar 5 : Akhbar gereja Katolik, “The Herald”, yang diterbitkan oleh Uskup Agung (Archbishop) Kuala Lumpur (setiap 2 minggu sekali) pada keluaran 4 Jun 2000 telah menyiarkan sedutan dari ceramah yang disampaikan oleh penulis buku Freedom of Religion in Malaysia, Lee Min Choon. Lee secara terang-terangan telah mencabar maruah dan sensitiviti umat Islam dalam ceramahnya.

Kita sebagai seorang Mulim sejati yakin bahawa suatu hari nanti nur Islam akan bersinar kembali di Malaysia. Oleh itu sesiapa yang mengaku dirinya Muslim wajib berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi tercinta ini. Hanya dengan pengakuan Daulah Islamaiah dan sistem perundangan Islam sahaja yang akan dapat mengembalikan keagungan Melayu di Malaysia.

Ibu bapa yang berperanan sebagai pendidik pertama perlu membekalkan ilmu agama kepada anak-anak. Sekarang dengan kewujudan sekolah-sekolah agama sekurang-kurang dapat membantu merebaknya gejala murtad. Guru-guru agama di sekolah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjelaskan keburukan murtad. Tetapi perlu diingatkan gerakan misionaris sekarang mula memasuki sekolah-sekolah agama. Oleh itu pihak sekolah perlu mengawasi pelajar-pelajar supaya berhati-hati dengan dakyah mereka. Menceritakan tentang murtad dari segi kaca mata Islam adalah salah satu cara awal menyekat gejala murtad dari meresap di sekolah-sekolah.

Apa yang penting dan perlu diingatkan di sini adalah setiap Muslim tanpa mengira warna kulit adalah bertanggungjawab memikul amanah amar makruf dan nahi munkar. Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad:7)

Semoga dengan membaca artikel ini, segala bukti mengenai gerakan Kristianisasi ini jelas dan mudah difahami oleh para pembaca dan dengan jalan ini, gejala murtad dapat disekat sebelum tertegaknya ad-Daulah al-Islamiah al-U’zmaa.

Sekian, wallahu a’lam.


No comments:

Post a Comment