Friday, August 26, 2011

Kedaulatan Negeri-Negeri Melayu


Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera

Sebelum ini, penulis telah dedahkan mengenai kehancuran Kesultanan-kesultanan Melayu di wilayah Sumatera Timur iaitu Langkat, Deli, Serdang Darul Arif dan Asahan. Artikel ini merupakan siri terakhir bagi ‘Negeri-negeri Melayu di luar Malaysia’, iaitu dengan menyusuri pula ke beberapa buah negeri Melayu di kawasan wilayah tengah dan selatan pulau Sumatera. Untuk makluman, artikel ini tidak akan memasukkan Kerajaan Minangkabau dan Kesultanan Acheh Darussalam kerana di Indonesia, suku Minang dan suku Acheh dianggap sebagai dua etnik yang berbeza dengan suku Melayu.





Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu.

Paling menarik minat penulis, adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi.

Semasa berbincang dengan waris Raja Indragiri, penulis mengusulkan bahawa ‘Melaka’ yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Penulis memberi hujah, isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri ‘Johor’ yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang.



Lambang Kesultanan Siak dan Kesultanan Pelalawan berbentuk naga beralih (dua naga saling mengadap). Dikatakan lambang Kesultanan Indragiri juga berbentuk begini sebagaimana yang terdapat di istana asal Indragiri yang telah runtuh ke dalam sungai pada tahun 1960-an.


Kesultanan Siak Sri Indrapura dan Kesultanan Pelalawan pula merupakan dua buah Kerajaan Melayu bersaudara. Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil, yang dibesarkan di Pagaruyung (Minangkabau) dan mendakwa dirinya sebagai pewaris yang sah bagi Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor lama yang telah mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Raja Kecil kemudiannya berjaya menduduki tahkta Johor lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah I, tetapi tidak lama kemudian disingkirkan oleh bangsawan Bugis sebelum berundur ke Siak dan mendirikan Kerajaan baru. Kesultanan Pelalawan pula didirikan pada awal abad ke-19 oleh Syarif Abdul Rahman, saudara kepada Sultan Ali, Raja Siak. Baginda telah mengambil alih kedudukan Pelalawan dan menjadi penguasa di kawasan tersebut, dengan mendapat perkenan daripada Sultan Siak dan diakui oleh penjajah Belanda.



Tokoh korporat negara, Tan Sri Syed Yusuf bin Tun Syed Nasir, yang berketurunan Sultan Siak, menerima Anugerah Adat Kesultanan Siak.


Kesultanan Lingga pula wujud selepas perpecahan empayar Johor lama yang pada asalnya merangkumi Negeri Pahang moden, Johor moden, pulau Singapura, serta kepulauan Riau, tetapi telah berpecah kesan daripada perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824. Putera tertua kepada Sultan Mahmud Syah III dari empayar Johor lama, iaitu Tengku Hussein dilantik menjadi Raja Johor dengan berpusat di Singapura yang di bawah pengaruh Inggeris, sementara kekanda tirinya, Tengku Abdul Rahman pula yang sebelum itu mewarisi takhta Johor lama, menjadi Raja Lingga yang menguasai kepulauan Riau yang di bawah pengaruh Belanda. Perjanjian inilah yang telah memecahkan hubungan erat antara negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu dengan negeri-negeri Melayu di Sumatera dan membentuk sempadan politik Malaysia-Indonesia seperti yang wujud pada hari ini. Kesultanan Lingga telah dihapuskan oleh penjajah Belanda tanggal 3 Februari 1911, dan sebelum itu, penjajah Belanda juga telah menghapuskan Kesultanan Palembang pada tahun 1825 dan Kesultanan Jambi pada tahun 1906.

Menjelang fasa kemerdekaan Republik Indonesia, hanya tiga buah negeri sahaja yang masih diperintah oleh Raja-raja Melayu iaitu Siak, Pelalawan dan Indragiri. Walaubagaimanapun, berbeza dengan pendirian Raja-raja Melayu di Sumatera Timur yang masih berkeras mempertahankan kuasa dan negeri mereka, Raja-raja Siak, Pelalawan dan Indragiri pula bersedia untuk turun daripada takhta dan menyerahkan kekuasaan mereka kepada pihak Republik yang berpusat di Jakarta. Sejarah kemudian telah mencatatkan nasib dan tragedi yang menimpa Raja-raja Melayu serta kerabat mereka di Sumatera Timur.

Pada hari ini, para pewaris dan kerabat Kesultanan Melayu di wilayah tengah dan selatan Sumatera juga tidak ketinggalan untuk membangunkan kembali institusi Raja Melayu untuk melestarikan warisan dan kebudayaan negeri mereka. Terdapat sebilangan dari mereka yang sangat aktif dengan menyertai Festival-festival Keraton yang diadakan di Indonesia.



Tengku Abdul Rahman, waris Kesultanan Lingga



Tengku Mukhtar Anum, Raja Siak



Tengku Kamaruddin Haroen, Raja Pelalawan



Tengku Arief ibni Sultan Mahmud Syah, Raja Indragiri



Tengku Abdul Rahman Thaha Syaifuddin, waris Kesultanan Jambi



Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, Raja Palembang bersama isterinya








Seperti Dijangka, Ultra-Kiasu Tunjuk Belang di Sarawak




Seperti yang telah penulis jangkakan sebelum ini, para ultra-Kiasu yang memenangi beberapa kerusi DUN Sarawak baru-baru ini terus menunjukkan penentangan secara halus terhadap budaya Malaysia yang berteraskan Melayu dan agama Islam. Dan perkara ini terbukti berlaku pada pembukaan sidang DUN Sarawak yang diadakan pada hari semalam apabila Wakil Rakyat dari DAP enggan memakai pakaian istiadat rasmi DUN.





Paling pelik, apabila Ketua DAP Sarawak, Wong Ho Leng, dilaporkan telah mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia sebagai menafikan kebebasan beragama dan hak asasi manusia. Artikel terdahulu penulis telah menerangkan secara panjang lebar bahawa bersongkok tidak semestinya melambangkan Islam. Apakah semua ADUN DAP Sarawak ini telah dijangkiti sindrom Islamophobia? Jika memakai songkok pun dikatakan menafikan hak asasi manusia, apakah selepas ini penggunaan Bahasa Melayu di DUN dan Parlimen juga akan dikatakan menafikan hak asasi manusia?

Jika penulis tidak silap, di Indonesia, songkok merupakan salah satu daripada komponen pakaian rasmi yang wajib dipakai oleh ahli Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada majlis-majlis rasmi tertentu. Di Thailand pula, mereka turut mempunyai pakaian istiadatnya sendiri di Parlimen bagi menghormati Raja mereka yang hadir merasmikan sidang Parlimen negara mereka. Mantan Perdana Menteri Thai seperti Thaksin Shinawatra yang berdarah campuran Cina pun tidak pernah membuat tindakan bodoh menentang pemakaian istiadat itu. Pernahkah orang Melayu Muslim memboikot beramai-ramai pemakaian jubah pada majlis Konvokesyen universiti-universiti dalam negara atas alasan ia menyerupai jubah Paderi Kristian? Penulis memuji sikap matang 3 ADUN dari PKR dan seorang bebas yang tidak terikut-ikut dengan perangai hodoh para Ultra-Kiasu dari DAP ini.



Pakaian istiadat rasmi di Thailand


Selain daripada itu, penulis juga ingin menyentuh tentang tahap pemikiran beberapa pengunjung blog ini. Setiap kali penulis menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai sikap angkuh golongan Ultra-Kiasu, mesti ada ‘Meleis’ yang terasa. Pelik sungguh, yang kena tegur, golongan Ultra-Kiasu. Yang kena marah, ahli DAP. Tetapi yang tiba-tiba melenting, segelintir ‘Meleis’. Apa kes ni? Bangga sangatkah para ‘Meleis’ ni menjadi manusia berjiwa pencacai? Lepas itu, tiba-tiba akan keluarlah segala komen yang berkaitan dengan konflik UMNO-PAS. Apakah kerana penulis menghentam DAP, maka segelintir pembaca terus membuat konklusi singkat, “Oh... Ibnu Rusydi ni agent penulis parti pemerintah kot?”. Para ‘Meleis’ ni memang sepanjang masa asyik berpolitik sahaja ke? Tidak bolehkah dalam masa satu minit, berfikir secara matang tentang artikel penulis dan keluar sebentar dari kepompong pemikiran UMNO-PAS? Penulis teringat pengalaman di Miri dan Sibu pada pilihanraya negeri yang lalu apabila berjumpa dengan segelintir Bumiputera Islam yang beriya-iya berkempen untuk calon-calon Ultra-Kiasu. Malangnya, mereka sendiri mengeluh dan merungut apabila golongan Ultra-Kiasu ini langsung tidak mahu membantu kempen calon-calon Bumiputera Islam yang turut bertanding. Apakah kita hanya berbangga menjadi pencacai dan pak turut kepada golongan Ultra-Kiasu ini?





Apa pun, penulis terus mengucapkan syabas kepada Tuan Speaker DUN Johor kerana hanya dia sahaja di Malaysia yang masih mempunyai keberanian untuk menegur dan bertindak tegas terhadap sikap golongan Ultra-Kiasu ini yang dengan sengaja tidak mahu menghormati majlis di DUN.

Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan..

No comments:

Post a Comment