Tuesday, August 16, 2011

Kejatuhan Kapitalisme di Britain

Tanda Kejatuhan Kapitalisme di Britain




LONDON 11 Ogos - Keadaan di bandar-bandar utama di Britain tenang hari ini selepas dilanda rusuhan dan kegiatan mencuri yang berleluasa sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan kecemasan di negara ini.

Selain operasi besar-besaran polis di London dan bandar raya lain, hujan lebat di utara Britain turut membantu mengembalikan keadaan tenang awal hari ini, berikutan rusuhan selama lima malam berturut-turut.

Penduduk London mengecapi ketenteraman buat malam kedua malam tadi, sementara ke utara ibu kota, Manchester, Birmingham dan Liverpool yang mengalami kekacauan, kelmarin juga kembali aman.

Namun keadaan masih tegang dengan Polis Metropolitan terus menempatkan 16,000 anggota di kota London sekurang-kurangnya untuk satu malam lagi, malam ini.

Sementara itu, Perdana Menteri David Cameron menghadapi tekanan untuk mengkaji semula rancangan kerajaannya bagi memotong peruntukan kepada pasukan polis secara drastik di bawah langkah berjimat-cermat.

Pemotongan peruntukan itu dilaporkan bermakna bilangan anggota polis akan dikurangkan sebanyak 16,000 orang menjelang 2015.

Langkah itu ditentang keras oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson yang berkata, sekarang bukanlah masanya untuk mengurangkan bilangan anggota polis dengan banyak.

Lewat hari ini, satu mesyuarat krisis Kabinet dijadual disusuli dengan sidang tergempar Parlimen selepas ahli dewan dipanggil balik daripada cuti musim panas.

Polis menangkap lebih 1,200 orang termasuk 888 di London berhubung rusuhan itu, sementara mahkamah bersidang siang dan malam untuk mengendalikan kes-kes suspek yang didakwa.

Di London, 371 orang telah didapati bersalah berhubung pelbagai kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

Situasi di bandar raya Birmingham masih tegang hari ini selepas tiga lelaki keturunan Asia beragama Islam dirempuh oleh sebuah kereta ketika mereka cuba melindungi premis mereka. - dpa

Sumber : Utusan Online, 12/08/2011

Rusuhan di Britain, 1001 Bukti Kegagalan Kapitalisme

Meskipun ramai yang menganggap Britian sebagai sebuah negara maju dan bertamadun, namun rusuhan ganas dan lagak samseng yang ditunjukkan ke atas seorang pelajar Malaysia menunjukkan hal sebaliknya. Mungkin ada yang mengatakan ia adalah masalah terpencil, hakikatnya ia tetap berlaku di dalam skala yang besar sehingga beberapa bangunan besar di beberapa bandar besar Britain musnah terbakar sama-sekali. Rusuhan yang dikatakan berpunca daripada kematian seorang kulit hitam, Mark Duggan kerana ditembak polis telah menjadi pencetus kepada kemarahan rakyat yang selama ini dipendam. Banyak harta awam telah musnah selain kedai- kedai dibakar serta kes kecurian pula berlaku tanpa dapat terkawal. Episod kematian Mark Duggan adalah sebahagian daripada kisah kesengsaraan rakyat golongan bawahan Britain. Dengan yuran pengajian yang tinggi, isu keselamatan awam, pengangguran, serta tekanan kos hidup yang meningkat membuatkan mereka mengambil kesempatan atas apa yang berlaku untuk meredakan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah Britain.

Inilah kesan daripada kegagalan sistem kapitalisme di dalam menjamin keperluan dan hak asasi setiap individu di dalam negara. Seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin An Nabhani, Kapitalism hanya melihat pemenuhan keperluan dan hak itu sebagai kiraan purata bagi sesuatu masyarakat padahal yang sepatutnya dilihat adalah perincian di dalam pemenuhan setiap individu rakyat[Nidhamul Al Iqtishadi fil Islam (Sistem Ekonomi dalam Islam)]. Apabila ada kalangan individu tidak mendapat keperluan dan hak yang mencukupi, sudah tentu ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat kepada pemerintah sebagaimana yang berlaku di Britain ketika ini. Mungkin Britain sudah aman tetapi mereka terpaksa bergantung ‘sementara waktu’ kepada kekuatan polis dan tentera.

Dengan apa yang berlaku di Britian ini, ia seharusnya menjadi sebahagian daripada bukti yang sangat nyata dan jelas akan kegagalan kapitalisme. Apakah dengan bukti yang ada ini masih belum dapat ‘mencelikkan’ kebutaan para pemimpin umat Islam hari ini sehingga mereka masih terus menerapkan sistem yang sama ke atas umat yang mulia ini? Renung- renungkan.

No comments:

Post a Comment