Sunday, August 7, 2011

Kupasan Tentang HARI LAHIR .. ( Terima Kasih Sahabat2ku )

Sambutan Hari Lahir?



Assalamu'alaikum saudara/saudari.

Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.

Para pembaca yang budiman,

Hari ini ialah tarikh lahir saya menurut tahun syamsiah atau berasaskan matahari. Ada juga yang berpendapat ia adalah tahun Gregorian berdasarkan pengiraan semula seorang cendiakawan Kristian dan nama tahun tersebut dinamakan sempena namanya. Ada juga yang menamakannya dengan tahun Masihi kononnya berdasarkan tahun daripada lahirnya Nabi Isa AS. Bahkan ada juga yang mengatakan tahun yang dikira bermula daripada kewafatan Nabi Isa AS, yang mana sebagai orang Islam kita menolak pernyataan itu. Ini adalah kerana Nabi Isa AS tidaklah wafat atau pun terbunuh seperti mana dakwaan sesetengah pihak tetapi telah diangkat ke langit oleh Allah SWT.

Mengenai tarikh kelahiran dan tarikh Baginda Isa AS diangkat ke langit tidaklah sebenarnya diketahui secara sahih melainkan berat sangkaan sahaja kerana ketiadaan dalil-dalil dan bukti-bukti yang terang lagi terus mengenainya. Pun begitu, perkiraaan tarikh bahkan masa secara syamsiah ini sememangnya diterima pakai oleh Islam tanpa mengakui dakwaan bahawa tarikh tahun syamsiah sedia ada hari ini adalah perkiraan daripada zaman Nabi Isa AS baik tarikh kelahirannya mahupun tarikh Baginda diangkat ke langit.

Sebahagian ulamak masa kini menganggap bahawa memperingati apatah lagi menyambut hari kelahiran tiada dalam Islam dan menghukumkan ia sebagai perkara baru yang harus. Mereka mengeluarkan pendapat ini berasaskan kajian terhadap pelbagai dalil daripada Al-Quran dan hadith-hadith dan sumber-sumber lain yang ada pada mereka.

Ada pula yang mengatakan bahawa yang tidak dibolehkan ialah memperingati atau menyambut hari kelahiran mengikut tahun syamsiah tetapi dibolehkan menurut tahun qamariah yakni tahun yang mengikut perkiraan bulan (tahun hijriah ditetapkan menurut Islam melalui Ijma' ulamak Islam di zaman Khulafa-ir-Rasyidin).

Hujah ini berdasarkan kepada dakwaan akan khilafnya perkiraan syamsiah dalam tahuan masihi yang menjurus kepada dakwaan bahawa tarikh lahir atau tarikh diangkat ke langit Nabi Isa AS menurut perkiraan syamsiah itu adalah satu penipuan dan kita tidak boleh bersekongkol dengannya apatah lagi menyambut tahun itu dan kelahiran kita berdasarkan kiraannya.

Pendapat yang lebih keras pula membid'ah dholalahkan yakni menghukumkan mengingati hari lahir dan menyambutnya sebagai perkara baru yang haram lagi menyesatkan. Saya rasa umum pun akan menolak pendapat yang keras lagi tidak matang ini apatah lagi para Ulamak yang mendalam ilmu dan kefahamannya.

Saya mengikut pendapat ulamak Islam masa kini, bahawa hukum memperingati hari lahir bagi umum umat Islam serta menyambutnya adalah harus selagi tiada perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun meraikannya dengan doa selamat, istighfar, zikir, solat dan doa yang lain, yang mendekatkan yang menyambut berserta yang disambut, kepada Allah SWT dan Islam adalah lebih utama. Elakkan juga sebarang pembaziran dan raikanlah bersama ahli keluarga, kaum kerabat, jiran terdekat, sahabat handai lebih-lebih lagi golongan faqir dan miskin serta mereka lemah lagi memerlukan.


Para pembaca yang di kasihi sekelian,

Walaupun jarang sekali saya meraikan atau menyambut hari kelahiran ini, saya selalu mengingatinya. Saya bagaimanapun sebenarnya kurang bersetuju bahawa menyambut hari kelahiran itu adalah perkara baru kecuali kepada orang kebanyakan atau orang awam. Berkemungkinan besar pemerhatian kepada memperingati hari lahir dan sambutannya dianggap perkara baru kerana berdasarkan sejarah manusia itu sendiri, ia merupakan satu aspek kemewahan kerana menyambutnya melibatkan kos dan perbelanjaan yang sangat besar dan di luar kemampuan orang awam pada zaman lampau itu.

Yang mampu ketika itu hanyalah orang-orang bangsawan dan golongan kaya dan diraja. Ia merupakan satu acara yang langsung tidak penting bagi kebanyakan orang pada ketika itu kerana rendahnya taraf hidup mereka yang rata-ratanya orang kebanyakan, fakir dan miskin; baik mereka berada di Timur mahupun di Barat, hal keadaan mereka adalah sama sahaja. Maka dengan sebab kurangnya sambutan hari lahir itu, maka ia dianggap satu perkara baru.

Ia kemudiannya berevolusi dan beransur-ansur tersebar luas dan mula diamalkan oleh orang kebanyakan sesuai dengan arus kemajuan, pembangunan dan kemodenan. Masing-masing sedikit demi sedikit mula bertambah mampu menyambutnya secara kecil-kecilan sehinggalah akhirnya sambutan hari lahir ini sudah menjadi adat dan kebiasaan pula kepada orang awam. Sehingga ia mula masyhur dan diraikan hampir di setiap ceruk rantau di seluruh pelusuk dunia.

Jika diperhatikan dan diteliti, peringkat umur atau usia yang disambut hari lahirnya itu ada beberapa pecahan dan keadaan yang kritikal. Bahkan Islam juga amat memerhatikan setiap peringkat usia atau umur ini yang disambut sebagai hari lahir sebagai termasuk fasa-fasa penting dalam kehidupan dan pembangunan seorang insan.

Pertamanya, sambutan hari keputeraan yakni hari kelahiran itu sendiri. Menjadi kebiasaan dan adat kepada kebanyakan pembesar dan raja meraikan kelahiran anak-anak mereka.Bahkan hal sama juga disunatkan dalam Islam dengan sambutan yang dinamakan 'aqiqah iaitu satu majlis kesyukuran pada hari ketujuh kelahiran. (Para ulamak bagaimanapun berselisih pendapat tentang hukum mengadakan majlis 'aqiqah bagi menyambut hari lahir bayi sebelum atau selepas hari ketujuh.)

Ulamak Islam juga menggariskan bahawa dalam peringkat umur bayi ke umur mumayyiz yakni umur tujuh tahun, sekurang-kurangnya ada beberapa umur yang perlu diperhatikan. Satu, umur dua (2) tahun di mana ketika ini anak-anak kecil itu sudah tidak dibenarkan bermain dengan anak-anak patung menurut sebahagian ulamak. Kedua, umur 3 atau empat tahun, di mana ketika ini anak-anak sudah seharusnya dipisahkan daripada tempat tidur ibu dan bapa mereka.

Keduanya, hari dimahkotakan sebagai putera mahkota. Ini biasanya diadakan pada ketika putera-putera raja dan bangsawan lainnya berumur tujuh atau sepuluh tahun. Pada masa yang sama, Islam melalui hadith Nabi Muhammad SAW menekan ini adalah waktu anak-anak diajarkan ilmu tauhid dan ibadah yang asas terutamanya solat. Bahkan menurut hadith yang terang, Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa ketika berumur tujuh tahun atau permulaan mumayyiz inilah si anak wajib diajar bersolat. Sekiranya si anak masih bermalas-malasan melalukannya, maka apabila berumur sepuluh tahun, wajiblah ia dirotan, sesuai dengan kematangan umurnya.

Ketiganya, dalam peringkat umur mumayyiz ke 'akil dan baligh, terutama bermula daripada umurnya sepuluh tahun, ibu dan bapa wajib mengajarkan si anak dengan ilmu-ilmu fardhu 'ain dan fardhu kifayah yang lain sama ada dengan menghantarkannya ke sekolah atau mereka sendiri mengajar anak-anak mereka.

Islam bagaimanapun sangat menuntut pendidikan secara menyeluruh dan lebih awal terutama bagi membina kefahaman dan persekitaran yang kondusif untuk anak-anak mengenal Islam dan memahaminya seawal mungkin. Justeru, seelok-eloknya, anak-anak sepatutnya sudah menguasai Islam dan ilmunya yang fardhu 'ain dan kifayah sebaik sahaja mereka sudah 'akil dan baligh.

Diberitakan daripada sirah Nabi Muhammad SAW bahawa baginda pernah membantu Abu Talib berniaga ketika usianya masih mumayyiz. Begitulah juga kebanyakan anak-anak bangsawan yang lain yang dididik dengan pelbagai ilmu dan kemahiran diperingkat umur ini.

Keempatnya, peringkat umur remaja ke dewasa. Had umur remaja ke dewasa yang tidak mendapat mimpi basah adalah 15 tahun menurut sebahagian ulamak dan sebahagian yang lain berpendapat had umur tersebut adalah 18 tahun. Ada juga sebahagian kecil ulamak berpendapat 21 tahun. Justeru, kepelbagaian had umur ini juga mengajar kita bahawa mengingati hari lahir dan mengiranya adalah sangat penting dan mustahak dalam Islam terutama dalam menentukan had masa tanggungan dan taklif.

Perlu diingatkan, bahawa umur ini bukanlah terlalu muda untuk melibatkan diri dalam perkahwinan atau perperangan. Nabi Muhammad SAW pernah terlibat dalam perperangan ketika diperingkat umur ini dan pernah menetapkan agar seorang pemuda berumur 18 tahun mengetuai angkatan perang Islam.

Ketika ini juga putera-putera raja dan bangsawan lain dilatihkan dengan pelbagai ilmu daripada menunggang kuda, bermain pedang, memanah dan sebagainya sebagai persediaan untuk perperangan dan menerajui pasukan tentera. Di kala ini juga mereka ditunangkan atau dikahwinkan sebagaimana juga Islam yang pada suatu masa dahulu turut melihat pertunangan atau perkahwinan pada masa ini sebagai sesuatu yang baik dan sangat digalakkan.

Kelima, waktu menceburkan diri ke bidang-bidang professional seperti perniagaan dan pekerjaan lain pula bermula pada umur sekitar 25 tahun sesuai dengan sirah Nabi Muhammad SAW yang mula mengetuai rombongan perniagaan Sayyidatina Khadijah pada waktu itu. Di usia semuda ini juga seharusnya seseorang itu mendekati Allah SWT bagi memperbetulkan dirinya dan menjauhi segala yang tidak disukai Allah SWT serta meninggalkannya. Waktu inilah juga Nabi Muhammad SAW dan kebanyakan putera-putera bangsawan dan diraja memasuki alam perkahwinan serta mula menimang cahaya mata dan mendidik mereka pula.

Keenam, waktu umur matang pada usia 40 tahun. Ketika inilah Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW yakni pada hari Isnin bersamaan dengan hari lahir Baginda SAW. Sungguh Nabi Muhammad SAW sangat ingat akan hari lahirnya kerana menurut satu hadith yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab Sohihnya daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka jawabnya "Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepadaku".

Dalam huraiannya mengenai hadith ini, seorang ulamak Islam, Dr. Abdullah al-Himyari menyatakan, nas ini menunjukkan dengan jelas tentang keharusan (memperingati dan) menyambut hari lahir Baginda SAW dan hadis ini tidak ada ihtimal (andaian) yang lain.

Dalam bab mengingati umur ini, Baginda SAW juga dalam hadith yang lain ada mengingatkan bahawa sesiapa yang amal buruknya tidak diubah apabila dia mencecah umur 40 tahun, maka kemungkinan besar dia tidak akan dapat berubah dan akan mati dalam keadaan begitu, melainkan dengan izin Allah SWT. Justeru, peringkat umur 40 tahun juga amat penting diperhatikan oleh setiap umat Islam yang senantiasa mahu memuhasabah diri dan kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT serta bertaubat kepadaNya.

Waktu ini juga adalah waktu yang sesuai untuk seseorang putera bangsawan dan diraja dilantik menggantikan pendahulunya. Kebanyakan pemimpin negara daripada timbalan menteri dan menteri hari ini juga biasanya dilantik ketika umur mereka disekitar 40 tahun dan ke atas. Ini adalah had umur yang biasanya dianggap sebagai had umur berkematangan optima bagi seseorang manusia dalam memimpin atau melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang lebih besar dan berat.


Sidang pembaca yang dirahmati Allah SWT,

Selain daripada mengingati hari lahirnya, Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan mengingati hari lahir Nabi Adam As. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW mengatakan: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat pula.” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i, Tirmidzi dan disahihkan. Lihat juga dalam Fiqhus Sunnah oleh Sayyid Sabiq dalam bab Jumaat)

Daripada Aus bin Aus RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata: “Seutama-utama hari adalah hari Jumaat. Padanya diciptakan dan dimatikan Adam AS, ditiup sangkakala dan dibinasakannya manusia. Oleh kerana itu perbanyakkanlah selawat atasku pada hari itu karena selawatmu akan sampai kepadaku.” Para shahabat bertanya: “Bagaimana boleh sampai sedangkan jasadmu telah dimakan tanah?” Berkata: “Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan (membusukkan) jasad para Nabi ASW.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan disahihkan)

Hadith-hadith ini juga secara tidak langsung mengingatkan kita, peri pentingnya mengingati hari lahir sebagai peringatan kepada hari tua dan kematian beserta hari akhirat dan pembalasan serta bersedia untuknya. Selain itu ia mengingatkan kita bahawa sebaik-baik doa ialah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana dengan berselawat sekali sahaja, Allah SWT dan para Malaikatnya akan berselawat ke atas kita sepuluh kali dan mengampunkan dosa-dosa kita. Justeru, perbanyakkanlah berselawat dalam sambutan hari lahir.

Sesungguhnya benarlah bahawa manusia itu selalu lalai dan leka dan sering lupa oleh kerana terlalu cintakan dunia dan mengejarnya sedangkan yang dikehendakki ke atas seorang Islam itu ialah senantiasa mengingati mati dan bersedia untuknya. Ketahuilah, umur yang dikira daripada tarikh lahir itu hanyalah kayu ukur dan kehadiran sambutannya hadir setiap tahun hanya bagi mengingatkan diri kita akan kematian yang sebenarnya berjalan daripada saat ke saat dan bukannya tahun ke tahun sepertimana adat yang biasa kita amalkan.

Hendaknya kita semua sedar bahawa asalnya kita semua manusia ini dijadikan sebagai makhluk yang sangat baik zahir dan batinnya sehinggalah kita sendiri menjerumuskan diri ke arah kefasikan, kerosakan dan kemusnahan. Sedangkan asalnya semua manusia itu bersih dan islam ketika lahirnya dan akan kekal bersih dan islam jika dia mahu senantiasa membersihkan dirinya dengan bersuci secara zahiriah dengan berwudhuk dan mandi; dan bersuci secara batiniyyah dengan istighfar, selawat, zikir, solat, puasa dan doa, serta menebus diri dengan iman dan amal soleh yang berterusan sehingga ke akhir hayatnya.

Justeru, ingatilah dan sambutlah hari lahir kita sebagaimana Allah SWT dan RasulNya SAW mahukan kita senantiasa bermuhasabah mengingati muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Mulakan dengan memperbaiki niat dan azam kita untuk terus bermujahadah dan istiqomah memperbaiki dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya beramal-ibadahlah dengan penuh kesungguhan untuk akhirat kita seolah-olah kita akan mati esok hari tanpa kita melupakan atau mengabaikan nasib kita dan keluarga kita di dunia ini.


Para pembaca yang disayangi,

Akhir kalam, insafilah akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senantiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT. Terima kasih kepada para sahabat yang mengucapkan Selamat Hari Lahir, HAPPY BirthDAY, HB , dan seangkatan dengannya.. Salam Perjuangan untuk anda dan semoga di Berkati ILAHI selalu..

Allahu Wa Rasuluhu A'lam.

1 comment:

  1. Terima Kasih Ayahanda, Kekanda, Abang2 Long, Adik2 Seperjuangan, Rakan2 Seperjuangan dan para sahabat kerana mengirim Ucapan.. Dah 100+ ucap dalam 2 jam.. Minta maaf jika ada mesej tidak sempat di balas..Semoga anda kalian di berkati ALLAH selalu SALAM PERJUANGAN....

    ReplyDelete