Wednesday, August 17, 2011

Penulis Blog Terdedah Kepada Bahaya

Penulis Blog Terdedah Kepada Bahaya




Menulis sesuatu di blog memang mendatangkan kepuasan terutamanya apabila matlamat yang anda harapkan tercapai. Tidak kiralah sama ada matlamatnya adalah untuk memberitahu orang lain tentang perasaannya, berkongsi pandangan dan idea, mendapatkan wang, populariti dan sebagainya.

Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, ada penulis blog mengambil jalan singkat dan tidak beretika untuk menarik perhatian orang lain. Mereka sanggup menggadaikan kredibiliti sebagai penulis blog hanya kerana ingin mencapai kepuasan dalam jangka masa singkat. Menulis dan menyebarkan maklumat, berita ‘panas’ atau gosip tertentu secara membabi-buta dengan tidak membaca atau merujuk sumber yang sahih. Bahkan sesetengah daripada mereka memang sengaja menerbitkan penulisan sedemikian untuk menyakitkan hati pihak lain, sedangkan mereka tahu itu adalah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang blogger.

Terdedah kepada bahaya

Mungkin penulis blog yang suka mengambil jalan singkat ini terlalu yakin bahawa ‘internet ialah media untuk kebebasan bersuara’ dan ‘tempat menyembunyikan identiti’ maka mereka sangat berani menulis sedemikian. Tanpa disedari mereka secara tidak langsung mendedahkan diri kepada bahaya terutama yang berkaitan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, antaranya:

Pihak terbabit mendakwa penulis blog di mahkamah kerana penulisan (sama ada dalam bentuk artikel atau komen) diklasifikasikan sebagai fitnah jahat yang bertujuan untuk manjatuhkan maruah peribadi atau berbentuk parodi dengan niat untuk menyakitkan hati mereka.
Individu atau syarikat mendakwa penulis blog di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu tentang produk atau perkhidmatan yang mereka sediakan dengan tujuan untuk memburuk-burukan produk dan perkhidmatan individu atau syarikat berkenaan.
Di bawah seksyen 211 & 233; Seseorang yang memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit (RM1,000) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Ambil Ikhtibar

Dalam artikel Kosmo Online, 16 Ogos 2011, Amaran tutup, denda RM50,000, sekali lagi pihak berkuasa mengingatkan penulis blog/laman web supaya tidak mengeluarkan sebarang bentuk kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mencaci, mengugut atau mengganggu mana-mana pihak. Jika ini dilakukan, tindakan tutup blog/laman web, denda atau penjara mungkin akan menanti kita.

Saya yakin pihak berkuasa serius dalam hal ini. Walaupun setakat ini bilangan penulis blog yang didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia masih kecil, tetapi rujukan semula terhadap kes-kes sebelum ini menunjukkan bahawa akta ini memang telah dikuatkuasakan. Beberapa penulis blog pernah dihadapkan di mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, antaranya Hassan Skodeng dan beberapa kes lain yang melibatkan institusi di-raja. Tidak perlu saya nyatakan secara jelas, maklumat tersebut boleh diperoleh dengan mudah melalui enjin carian.

No comments:

Post a Comment