Tuesday, August 16, 2011

Perihal Jais, gereja dan zakat.

Bicara perihal Jais, gereja dan zakat




Isu serbuan Jais ( Jabatan Agama Islam Selangor) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) masih lagi belum teduh.
saya terpanggil untuk turut sama memberikan komentar melalui entri ini, sebagai melunaskan hak saya bersuara dalam negara demo-kasi ini.
Seperti isu-isu berkait kaum Bangsa Melayu dan agama Islam yang lepas-lepas, polemik ini dengan pantas menjadi batu loncatan untuk para pemimpin sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang menunjukkan keperwiraan mereka dalam membela umat Islam dan kemaslahatan ummah seluruh negara.
Keikhlasan mereka sentiasa saya ragui kerana perjuangan mereka bermusim, hanya menyalak pada waktu-waktu tertentu, contohnya pada waktu isu ini dibangkitkan.
Memang salah besar MB Selangor memohon maaf pada DUMC tanpa menyiasat terlebih dahulu adakah perkara yang berlaku salah DUMC atau salah Jais. Kesemberonoan beliau telah mengundang kemarahan, lantas menjadikan beliau dan kerajaan tadbiran beliau sebagai tempat untuk melepaskan geram yang semakin menggelojak semenjak habis PRU yang lalu.
Maka bergemalah seantero Tanah Malaysia dengan gegak gempita amukan para pejuang periuk nasi sendiri mengutuk, mencaci dan berkomentar. Yang pedas, yang pahit malah yang payau mengisi media-media aliran utama dan juga media alternatif.
Masalah sebenar kenapa serbuan itu dilakukan hampir sahaja tenggelam di sebalik isu sampingan, MB Selangor 'buat taik' terhadap masyarakat Islam.
Dalam seronok berjuang untuk menjaga periuk nasi sendiri tadi, para pejuang agama Islam dan pejuang kebenaran ini sedar atau tidak sedang menyembunyikan masalah sebenar, kudis dan pelbagai lagi penyakit dan kebusukan di sebalik kelemahan PENGURUSAN BADAN AGAMA ISLAM.
Bukan! ini bukan perihal tindakan menyerbu gereja yang kita sendiri pun mungkin tidak pernah tahu akan kewujudannya. Ini adalah mengenai 'DALAM REZEKI SEORANG MUKMIN, TERDAPAT REZEKI SEORANG MUKMIN YANG LAIN'.
Ya, Perihal ZAKAT!
Badan-badan yang menguruskan kutipan zakat di negara kita bagaikan mandul. Kutipan zakat tidak sahaja mencecah ratusan juta ringgit, malahan berbillion-billion jika kerajaan kita benar-benar menegakkan syiar Islam.
Berapa banyak syarikat milik muslim yang tidak pernah membayar zakat, zakat persendirian pun belum tentu lunas. Sah-sah hanya bayar zakat fitrah sahaja sekali setahun, tu pun pilih paling murah.
Kerajaan pun tidak bertegas memaksa mereka membayar zakat syarikat kerana, apalah sangat bayar zakat, nanti kena bagi dekat asnaf pulak. Lagi baik paksa bayar cukai sahaja, boleh buat macam-macam projek, komisen projek pun dapat.
Itu satu hal. Satu hal lagi, karenah birokrasi dalam pengagihan wang zakat. Badan-badan yang menguruskan wang zakat ini sangat liat untuk memberikan bantuan zakat pada 8 golongan asnaf yang layak;


1. Fakir (al Fuqara) - Orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuk dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan,pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10.00 sehari tetapi hanya mampu RM3.00 sahaja.


2. Miskin (al-Masakin) - Golongan mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10.00 tetapi hanya memperoleh RM8.00.


3. Amil - orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.


4. Muallaf - seseorang yang baru memeluk agama Islam atau sedang berjinak-jinak dengan Islam.


5. Riqab - Seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri( hamba).


6. Gharimin - Penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.


7. Fisabillillah - Orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.


8. Ibnus Sabil - Musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.


Dari lapan asnaf ini hanya orang fakir, orang miskin dan amil sahaja yang seringkali mendapat nikmat dari hasil zakat. Kadang-kadang amil dilihat menjadi satu kerjaya yang boleh menyenangkan.
Bagaimana dengan lima lagi? Badan-badan yang menguruskan hal ehwal zakat ini tidak peduli atau ambil peduli langsung dengan lima golongan tersebut?
Mungkin golongan muallaf ramai yang dapat. Tapi berapa kerat? Muallaf-muallaf sering mengeluh kesal dengan perangai buruk kakitangan badan-badan ini. Jika tidak susah atau tidak termasuk dalam fakir dan miskin, muallaf akan dihalau kerana sudah ada kemampuan sendiri. Jika daif kehidupan mereka, muallaf akan dicerca pula dan dituduh sengaja menganut atau menyamar Islam untuk mendapatkan bantuan.
Siapalah mereka, dari budak pejabat, kerani cabuk sampai pengarah jabatan sekalipun untuk menentang keputusan Allah SWT melayakkan golongan tadi menerima bantuan zakat?
Siapalah mereka yang hanya makan gaji menguruskan hal ehwal zakat untuk menentukan siapa yang layak siapa yang tidak?
Siapalah mereka untuk kemut hasil zakat seumpama wang itu harta pusaka kepunyaan mereka yang diwarisi turun-temurun selama beberapa generasi?
Tempohari, dalam satu berita tengahari RTM, disiarkan satu berita tentang pengagihan wang zakat, bukan oleh pihak kerajaan tetapi parti politik (anda tahu parti apa). Selepas itu disiarkan temuramah dengan penerima zakat. Maka berkeriutlah raut wajah penerima dengan bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan parti politik tersebut kerana sudi memberikan bantuan zakat kepadanya.
Satu penyelewengan! Agihan zakat dibuat semacam agihan duit derma sendiri. Zakat dikutip oleh orang Islam lain yang berkemampuan untuk diberikan kepada muslim lain pula yang semestinya tidak berkemampuan. Kutipan zakat tersebut bukan milik peribadi pemimpin tadi atau parti yang diwakilinya untuk dibangga-banggakan. Masih boleh diterima jika ditayangkan sahaja majlis pengagihan tanpa menyiarkan propaganda politik murahan yang mempergunakan agama lantas mempersendakan sistem zakat itu sendiri.
Campur tangan politik, antara penyebab kemandulan badan-badan zakat tadi.
Terdapat satu peristiwa sewaktu pemerintahan P di Terengganu. Sampai hari ini saya masih ingat isu tersebut kerana berulang kali dikutuk dalam televisyen.
Dikisahkan anak seorang YB P menerima bantuan zakat untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara.
Memang beliau layak kerana tergolong dalam asnaf yang memerlukan bantuan untuk mencukupkan wang yang tidak cukup serta orang yang berjuang di jalan Allah ( menuntut ilmu). Tapi oleh kerana kurangnya kefahaman dan tarbiyah Islam dalam diri seorang pemimpin U, maka mereka mencanangkan YB P tersebut telah menyelewengkan wang zakat. Akhirnya untuk tidak mengeruhkan keadaan, terpaksalah YB tersebut meminjam wang dari pihak lain untuk membayar balik wang zakat tersebut.
Satu lagi kebobrokan dan kegoblokan badan-badan zakat ini ialah, mereka sibuk membuat keuntungan dunia dengan melaburkan wang kutipan zakat ke institusi pelaburan dan saham-saham yang dirasakan akan memberikan pulangan yang lumayan. Tipu jika mereka katakan untuk mempelbagaikan pendapatan dan menambah hasil, sudah tentu ada bonus pada tiap-tiap hujung tahun hasil dari keuntungan pelaburan tadi.
Mereka sudah lupa, wang zakat tadi adalah pelaburan umat Islam di akhirat nanti. Mereka buat-buat tidak mengerti bahawa Allah memfardhukan zakat sebagai ujian dan juga nikmat untuk muslimin.
Mereka berbangga dengan kutipan zakat yang berbillion-billion. Mereka mendabik dada bukan sahaja berjaya mengutip zakat dengan cemerlang malah mereka berjaya membuat keuntungan daripada pelaburan yang dibuat dengan gemilang.
Mereka lupa zakat itu wajib dikutip, malah juga wajib diberikan kepada yang berhak. Pusat zakat atau baitulmal atau apa sahaja gelarannya, hanya menjadi proksi kerajaan( parti politik) dalam mengutip hasil, lantas melupakan tugas mereka sebagai proksi Allah SWT.
Jika badan zakat betul-betul menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah dan kepada umat Islam, saya rasa peluang untuk pihak pendakyah agama lain untuk mengkafirkan umat Islam dengan wang dan kesenangan kebendaan (kemiskinan itu mendekatkan diri ke arah kekufuran, kufur itu kembar kafir) tiada sama sekali kerana zakat adalah satu penyelesaian yang dijanjikan Allah.
Tidak akan timbul isu gereja memberikan bantuan dengan niat mengkristiankan umat Islam.
Namun itu semua tidak terjadi kerana kepincangan pengurusan zakat kita. Ingatlah Islam agama yang mentadbir, bukannya agama yang ditadbir. Jelas sekali di negara kita, kerajaan mentadbir agama Islam.


* Masih belum terlambat untuk pihak berwajib merombak sistem pengurusan zakat yang dilihat sangat korporat walhal ia merupakan rukun Islam yang keempat. Yang pasti elakkan ia ditadbir tangan politik dan juga minda kapitalis. Islam itu agama yang sempurna, segala sesuatu ketetapan dalam Islam akan menyempurnakan kehidupan muslimin dan seluruh manusia.

No comments:

Post a Comment